Di antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru.
Kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat.
Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu, disamping itu mendidik
anak-anak didik menjadi insan yang baik dan mampu berjasa kepada keluarga dan
masyarakatnya.
Dengan demikian, kita haruslah berterima kasih kepada mereka, kerena jasa
merekalah, maka kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira. Dalam
masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memasukkan
ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru. Ayat 3 hingga 5
surah al-`Alaq sudah cukup terang dan jalas mengenai perkara ini.
Nabi dan rasul diutuskan oleh Allah sebagai guru untuk mengajar manusia dengan
ilmu yang benar, iaitu ilmu yang Allah wahyukan kepada mereka. Mereka
mengajar ilmu tentang ketuhanan, tentang perkara yang baik dan buruk, mereka
mengajak manusia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk.
Mereka mengajar manusia supaya ingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara
sahaja. Semua akan mati dan kemudian akan dihidupkan semula untuk diberi
balasan terhadap perbuatan mereka semasa hidup di dunia.
Guru-guru pun demikian juga.
Mereka mengajar manusia supaya pandai membaca dan menulis. Mengenal Tuhan,
faham maksud adanya semua benda yang dapat dilihat, faham tingkah laku yang baik
dan yang buruk. Mengajar manusia
supaya mereka dapat menjalani hidup dengan kerjaya masing-masing dan mendapat
keredaan Allah s.w.t. Mengajar manusia supaya menjadi insan yang berguna
kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Melihat kepada aspek-aspek
inilah dikatakan guru mewarisi tugas para nabi.
Dewasa ini tidak semua guru dapat menjalankan tugasnya seperti contoh yang
tersenarai di atas. Ramai guru yang tidak dapat menunjukkan akhlak
yang baik kepada muridnya. Terdapat sebahagian kecil yang tidak mampu
mendidik dan menjadi contoh yang baik kepada murid atau pelajarnya supaya
mesreka juga menjadi insan yang baik dan mulia mengikut perspektif Islam.
Guru memainkan peranan yang besar dalam pendidikan ummah. Justeru itu guru
harus mempunyai sifat-sifat pemimpin yang baik. Guru juga adalah pendidik,
kaunselor, pendakwah, ikutan dan pemimpin. Semua tugas ini
dijalankan secara serentak dan memerlukan kemahiran dan pengalaman dalam bidang
tersebut.
Oleh kerana guru tidak memiliki pengalaman dan kemahiran dalan bidang-bidang
berkenaan, maka mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan
sempurna. Harus difahami bahawa setiap guru Islam bertanggungjawab dengan
Allah Taala untuk mendidik muridnya menjadi insan muslim yang dapat menjalani
hidupnya sebagai seoragn muslim yang sejati.
Justeru itu, setiap guru muslim mestilah seorang yang sentiasa taat perintah
Allah serta menjauhi larangannya. Guru yang meninggalkan solat lima waktu,
yang suka berjudi, menipu, tidak menutup aurat dan sebagainya, maka mereka
tidaklah menjadi uswah dan qudwah (contoh & kepimpinan) yang patut diikut.
Malah mereka tidak layak menjadi guru untuk mendidik anak-anak orang Islam.
Guru yang tidak dapat mengawal nafsu dan bertindak mengikut perasaan juga tidak
layak menjadi guru, kerena dirinya tidak stabil, jadi bagaimana mungkin mereka
hendak mendidik orang supaya stabil. Kerana adanya guru yang berperibadi
demikian, maka ia melahirkan pelajar yang berperibadi demikian juga.
Kita sering melihat laporan akhbar dan mendengar berita radio dan TV tentang
salah laku di kalangan pelajar sekolah menengah, dan ini sedikit sebanyak ada
hubungan dengan peribadi guru. Kita tidak dapat hendak menafikan seratus
peratus walaupun kita tidak menerima seratus peratus maksud daripada pepatah
Melayu lama; ”Kalau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari”, kerana ini
ada kebenarannya.
Dalam hal ini. pada hemat penulis, ada dua perkara yang mungkin boleh dibuat
alasan. Pertama kerana sikap dan personaliti guru itu sendiri, dan kedua
kerana guru tidak dapat mendisiplinkan pelajar sebab diganggu oleh ibu bapa
sebab ada ibu bapa yang suka masuk campur dalam urusan pentadbiran sekolah.
Misalnya, apabila guru memarahi pelajar kerana sesuatu kesalahan, maka datanglah
ibu bapa menyerang guru berkenaan. Ini bererti ibu bapa itu sendiri yang tidak
mahu anaknya jadi baik, sebab ibu bapa itu sendiri sudah begitu sikapnya.
Jadi, kedua-dua perkara ini sama-sama menyumbang ke arah pendidikan yang tidak
berkesan. Jadi, guru harus mempunyai alternatif lain untuk mendidik
anak-anak, di samping membuang sifat-sifat negatif serta peribadi yang tidak
cocok dengan pendidikan Islam. Hanya dengan ini sahajalah kita dapat
memertabatkan kembali peranan guru sebagai pemimpin, pendidik, kaunselor,
pendakwah dan sebagainya.
Kes-kes renungan
Pada awal sesi 1998/1999, ramailah ibu bapa datang ke sekolah menghantar
anak-anak yang baru masuk tahun satu. Di sebuah sekolah di daerah Ampang,
pada suatu pagi seorang guru perempuan membaling buku murid kerana sesuatu
kesalahan, dan buku yang dibaling itu hampir terkena seorang ibu lain yang juga
menghantar anak ke kelas berkenaan. Kerana melihat sendiri peristiwa itu,
ibu berkenaan terus membawa anaknya keluar dan membuat pertukaran sekolah di
Pejabat Pendidikan Daerah.
Persoalannya ialah, apakah itu caranya mendidik anak yang baru masuk sekolah?
Apakah teori yang dipakai oleh guru berkenaan? Teori Islamkah, Yahudikah
atau hawa nafsu? Apakah dengan cara demikian budak kecil itu akan jadi
baik atau sebaliknya? Apakah ini satu teori psikologi yang dipelajari di
maktab dahulu?
Dalam kes lain dalam tahun 1999 guru hilangkan buku latihan murid dan memarahi
murid kerana menulis dalam buku lain dan terus merotan murid itu (tahun 2)
kerana kononnya menghilangkan buku tersebut, walaupun budak itu mengatakan buku
ada pada cikgu. Selepas beberapa hari buku itu terjumpa semula di tempat
guru berkenaan bersama sama dengan buku darjah lain.
Persoalannya: Apakah tindakan cikgu itu betul sebagai pendidik?
Teori apa yang cikgu berkenaan ikut? Apakah dengan cara itu murid akan
sayang kepada cikgu? Atau, selesaikah masalah itu dengan memukul murid?
Kalau mengikut teori Islam (lihat al-Zarnuji, al-Qabisi, Ibnu Shahnun dan al-Ghazali)
kesalahan murid yang boleh dipukul ialah apabila murid itu melakukan kesalahan
yang salah mengikut syariat Islam, seperi mencuri, merosakkan hartabenda sekolah
dan sebagainya.
Dalam kes ini guru yang melakukan kesalahan dan
guru itu yang pukul murid. Kalau mengikut teori barat sekali pun kesalahan
itu tidak boleh dipukul sebaliknya diselidiki dan dinasihat. Tetapi inilah
jenis guru yang ada dan mengajar anak-anak orang Islam hari ini.
Kes serupa ini berlaku juga di sekolah menengah dalam tahun 1999, di mana guru
memerintakhan pelajarnya supaya menyalin semula nota yang telah ditulis di dalam
buku tebal. Pelajar tidak mahu menyalinnya kerana bukan dia yang hilangkan
buku itu, sebaliknya buku itu ada pada guru. Setelah dihukum pelajar ini,
tiba-tiba buku itu terjumpa semula, ia ada dalam simpanan guru. Apakah
kena dan adil tindakan guru itu? Adakah profesional tindakannya?
Guru memberi kerja rumah dan tak dapat siap sebab banyak dan banyak guru lain
juga memberi kerja rumah. Apabila datang ke sekolah besoknya murid ini
dipukul sebab tidak siap kerja rumah. Bayangkan guru yang belajar psikologi
tetapi tidak tahu mengamalkan psikologi. Dan ini menyebabkan murid tidak
mahu datang ke sekolah apabila kerjanya tidak siap.
Persoalannya: Apakah tindakan guru ini kena
mengikut prinsip Islam. Jika guru mengambil tindakan tidak stabil dengan
kesalahan yang dilakukan oleh murid apa pula hukumnya di sisi Allah? Inilah
perkara Fardhu Ain yang patut dimengerti oleh para guru.
Satu yang lumrah bagi sekolah sekarang ialah
budaya khutbah. Apabila ada sahaja perhimpunan, maka guru/guru besar/pengetua
mengambil masa yang begitu lama untuk memberi khutbah. Pelajar berdiri di tengah
panas, malah ada yang pengsan (di sebuah sekolah menengah) kerana lama berdiri.
Bukankah pengetua dan guru besar telah belajar di
maktab dan universiti tentang aturcara mengajar. Mesti ada objektif dan
isi. Tetapi apabila sampai masanya tidak digunakan teori yang dipelajari.
Mengapa tidak diamalkan ilmu yang dipelajari. Bercakaplah apa yang perlu
dengan ringkas dan padat. Tidak payahlah berkhutbah begitu lama yang
menyebabkan pendengarnya bosan.
Pernah penulis berada di sekolah (rendah dan
menengah) pada hari pertama persekolahan. Empat puluh minit guru besar
berucap dalam perhimpunan yang terdiri daripada murid lama, murid baru dan ibu
bapa. Kepada siap ucapan itu ditujukan? Ibubapakah, murid lamahkah,
atau murid baru? Jika kepada murid baru, fahamkah anak-anak
itu ucapan yang panjang lebar demikian? Jika murid lama, apa yang hendak
disampaikan? Jika ibu bapa, adakah ibu bapa memberi tumpuan dalam keadaan
yang bising dan hingar bangar itu?
Ini semua tidak perlu dan buang masa. Beri
sahaja arahan kepada guru-guru dan masuk kelas. Tahulah guru itu apa yang
hendak dilakukan. Dalam keadaan anak menangis, yang bercakap dan
berbagai-bagai lagi siapakah yang mendegar khutbah?
Di awal tahun 2000, penulis hadis di majlis
pendaftaran pelajar baru tingkatan satu di sebuah sekolah menengah. Waktu
pendaftaran pelajar ialah jam 8.30 pagi. Apabila ibu bapa datang diberi
dengan satu booklet mengenai peraturan sekolah. Ini baik dan patut
dipuji. Kemudian semua dijemput masuk dalam dewan.
Dewan tidak dapat menampung semua yang hadir.
Dengan demikian ramai yaaang berdiri di luar dewan. Kemudian seorang demi
seorang guru naik ke pentas memberi taklimat, sehingga jam 10.00 pagi belum
mendaftar. Ibu bapa yang berdiri di luar tidak mendengar isi ucpan,
sebaliknya bercakap dan melahirkan rasa tidak setuju cara itu dan membuag masa.
Kenapa jadi begini? Kerana tidak jelas objektif. Dengan demikian
tindakan orang profesional tidak profesional namanya.
Penulis ialah bekas seorang guru. Jadi,
dengan kejadian yang berlaku dewasa ini menyebabkan penulis merasa sedih kerana
ia melibatkan profesion penulis sendiri dan kerja ini ialah kerja yang
mulia dan banyak pahala. Jika dijalankan dengan baik, banyak pahala Allah
sediakan. Sebaliknya, jika dijalankan dengan cara yang tidak kena
menyebabkan semua pahala batal, malah dalam banyak hal mengundang dosa pula,
kerana kita melakukan kesalahan terhadap makhluk.
Jadi, bersempena dengan hari guru tahun ini,
marilah sama-sama kita para pendidik melakukan muhasabah. Kita
lihat apa yang telah kita lakukan selama ini sama ada ia sesuai dengan
Islam atau bertentangan. Jika ada yang sesuai, kita bersyukur.
Jika ada yang bertentangan, kita Islahkan. Jika ada teguran, kita lihat.
Jika ada kebenarannya kita ambil, jika tidak ada tinggalkan. Hanya dengan cara
ini sahaja kita dapat mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Siapa yang
mengikut Islam, ia akan berjaya dan mendapat keredaan Allah. Siapa yang
tidak ikut, ia mungkin berjaya di dunia, tetapi tiada keredaan Allah, manakala
di akhirat belum tentu akan berjaya.
No comments:
Post a Comment